MEMAHAMI keperluan orang ramai merancang kewangan serta mendapatkan aliran tunai, Bank Rakyat menawarkan kemudahan moratorium iaitu penangguhan bayaran keuntungan atau upah simpan kepada pelanggan perkhidmatan Pajak Gadai-i (Ar-Rahnu) yang layak bermula 18 Mac hingga 30 September 2020.

Ini juga membabitkan upah simpan atau keuntungan bagi akaun yang matang dalam tempoh berkenaan ditangguhkan bayarannya pada 1 Oktober 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, Bank Rakyat juga menangguhkan semua aktiviti lelongan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, justeru, pelaksanaan moratorium ini membantu serta memberi kemudahan kepada pelanggan untuk tidak perlu hadir bagi membuat bayaran keuntungan atau upah simpan.

“Penangguhan ini juga dapat membantu pelanggan merancang kewangan serta aliran tunai mereka.

“Sempena bulan Ramadan dan Syawal ini, menerusi kempen Kami Bersama Anda, Bank Rakyat juga menawarkan had margin pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai emas semasa dengan had pembiayaan sehingga RM350,000 dan kadar keuntungan yang kompetitif.

“Ini adalah antara yang ditawarkan Bank Rakyat bagi membantu orang ramai yang berkemungkinan berdepan dengan masalah kewangan sejak PKP dilaksanakan,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Bank Rakyat juga tidak mengenakan sebarang penalti atau caj lewat kerana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah patuh Syariah.

Beliau berkata, secara umumnya, Ar-Rahnu di Bank Rakyat ditawarkan melalui dua saluran iaitu melalui cawangan Bank Rakyat dan Ar-Rahnu X’Change .

“Ar-Rahnu cawangan Bank Rakyat beroperasi seperti biasa dalam tempoh PKP mengikut tempoh masa operasi yang ditetapkan dan sejak 4 Mei lalu Ar-Rahnu X’Change sudah beroperasi semula dari 9 pagi sehingga 4 petang,” katanya.