Kuala Lumpur: Bank Rakyat terus komited menghargai kesetiaan pelanggannya apabila meraikan seramai 141 pemenang menerusi tiga kempen yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-66.

Tiga kempen yang dianjurkan buat julung kalinya itu adalah kempen untuk Anggota Bank Rakyat, Kempen Duit Berganda dan Kempen DuitNomNom dengan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM300,000.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, kesemua kempen yang dianjurkan itu adalah bagi memberi penghargaan kepada pelanggan setia Bank Rakyat dengan menawarkan pelbagai hadiah lumayan.

“Ini adalah kali pertama Bank Rakyat menganjurkan kempen untuk anggota dengan menawarkan saham Bank rakyat sejumlah RM138,000.

“Kempen yang berkonsepkan Langgan dan Menang menarik lebih daripada 50,000 pelanggan dari kategori individu dan koperasi yang melanggan Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Pajak Gadai-i yang melanggan sepanjang tempoh tiga bulan kempen dijalankan.

“Seramai 33 pelanggan individu sudah menerima saham bernilai RM2,000 dan enam koperasi menerima saham berjumlah RM11,000,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, penganjuran Kempen Duit Berganda adalah inisiatif Bank Rakyat untuk meningkatkan kesedaran pelanggan mengenai kepentingan menabung sempena sambutan World Savings Day pada 31 Oktober 2020.

Kempen yang berlangsung selama tiga bulan itu mendapat sambutan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 529,661 penyertaan.

Ia menerusi deposit sekurang-kurangnya RM500 melalui Akaun Deposit-i Berjangka, Akaun Simpanan-i, Akaun Simpanan-i untuk Ibadah Umrah, Akaun Simpanan-i untuk Tabung Qurban, Akaun

Simpanan-i Nuri dan Akaun Semasa-i Elektronik (eCAi).

Lima pemenang utama iaitu Azizah Ismail dari Meru Raya, Perak; Suria Mohamad Nawi dari Masjid Tanah, Melaka; Sariha Abd Razak dari Pekan, Pahang; Pang Kui dari Tampin, Negeri Sembilan dan Tan Ah Tong @ Tew San dari Lukut, Negeri Sembilan, yang memenangi wang tunai sebanyak RM20,210.

Sementara itu, 30 pelanggan bertuah memenangi wang tunai sebanyak RM1,000 pada setiap bulan sepanjang kempen ini berlangsung.