Kuala Lumpur: Bank Rakyat terus mengorak langkah menerusi pembukaan Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives Business Centre, SMEC) sebagai salah satu inisiatif memperkasakan sektor pembangunan keusahawanan negara.

Pembukaan SMEC ini juga mampu mendorong dalam mencapai sasaran kelulusan pembiayaan sebanyak RM1 bilion kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), manakala RM75 juta untuk usahawan mikro bagi tahun 2021.

SMEC adalah pusat sehenti yang menyediakan khidmat nasihat dan pembiayaan holistik kepada usahawan daripada kategori usahawan mikro, PKS serta koperasi.

SMEC beroperasi secara fokus untuk pembangunan usahawan, membolehkan pelanggan mendapatkan khidmat nasihat dari segi pengurusan pembiayaan, perniagaan serta perancangan untuk mengembangkan perniagaan mereka tanpa perlu berurusan di cawangan Bank Rakyat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif ini sejajar dengan manifestasi agenda kementerian seperti yang dinyatakan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

“Ia bertujuan menjadikan Malaysia antara negara keusahawanan sepenuhnya pada 2030, dengan objektif untuk memperkukuhkan sumbangan ekonomi PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada 50 peratus menjelang 2030.

“Penubuhan SMEC adalah bertepatan dengan saranan kerajaan kepada institusi perbankan agar terus menyokong pemulihan ekonomi dan memelihara kesejahteraan sumber pendapatan rakyat Malaysia.

“Menyedari golongan usahawan antara yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara, penubuhan SMEC juga dilihat sebagai salah satu usaha membantu mereka yang terjejas untuk memulihkan semula perniagaan mereka.

“Selain itu, SMEC bakal memberi peluang kepada usahawan mikro untuk memajukan perniagaan mereka dalam industri PKS sekali gus meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya golongan usahawan B40,” katanya dalam kenyataan.

SMEC yang berkonsepkan pusat fizikal adalah pusat yang ditempatkan di beberapa lokasi di seluruh negara sebagai platform penyebaran maklumat kepada usahawan di setiap kawasan.

Sehingga kini, tiga SMEC di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka sudah mula beroperasi untuk memperluaskan capaian kepada PKS, mikro dan koperasi di sekitar kawasan berkenaan.

Sementara itu, tujuh SMEC bakal dibuka tidak lama lagi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.