Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) optimis mencapai pertumbuhan pembiayaan kira-kira tujuh peratus melepasi kadar pertumbuhan pinjaman industri iaitu dua hingga tiga peratus.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, sebelum pandemik Covid-19, Bank Mualamat meletakkan sasaran pertumbuhan pinjaman 13 peratus.

“Sejak pandemik melanda, kami akui perniagaan Bank Muamalat terjejas sedikit, namun kami faham semua perniagaan turut terkesan.

“Justeru, kami mengurangkan sasaran pertumbuhan pembiayaan kepada tujuh peratus dan sasaran ini bagaimanapun lebih tinggi berbanding pinjaman industri,” katanya selepas pelancaran Jariah Fund Bank Muamalat, di sini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengerusi Bank Muamalat, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Khairul berkata, pihaknya percaya pertumbuhan itu bakal disumbangkan oleh segmen pembiayaan runcit termasuk pembiayaan rumah, peribadi, gadai janji dan peruncitan.

Beliau berkata, setakat ini jumlah buku pinjaman Bank Mualamat bernilai RM16 bilion dengan RM10 bilion membabitkan pembiayaan runcit dan RM6 bilion, korporat.

Sementara itu, mengenai lanjutan moratorium, Khairul berkata, pihaknya sudah menghubungi hampir 13,000 pelanggan bersasar.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 8,000 pelanggan yang memberi maklum balas dan yang memohon lanjutan moratorium kurang daripada 1,000 orang.

“Bagaimanapun, Bank Muamalat bersedia dan menggunakan sepenuhnya saluran kami untuk membantu pelanggan yang terjejas,” katanya.

“Ini termasuk melalui SMS, maklumat di perbankan internet, mesin ATM dan dengan membuka cawangan pada hari Sabtu dan Ahad,” katanya.