Bank Islam komited untuk terus menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan yang memenuhi kehendak dan jangkaan pelanggan.

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd menyemak turun Kadar Asas (BR) sebanyak 25 mata asas daripada 2.77 peratus kepada 2.52 peratus manakala Kadar Pembiayaan Asas (BFR) juga disemak turun daripada 5.72 peratus kepada 5.47 peratus.

Bank itu menerusi kenyataan pada Rabu berkata pada masa yang sama, kadar deposit juga akan diselaraskan dengan penurunan sebanyak 25 mata asas.

"Semua perubahan kadar akan berkuat kuasa mulai 10 Julai, 2020. Keputusan ini adalah sejajar dengan langkah penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas daripada 2.00 peratus kepada 1.75 peratus oleh Bank Negara Malaysia," menurutnya.

Ia berkata semakan terakhir BR Bank Islam dilaksanakan pada 12 Mei, 2020, iaitu daripada 3.27 peratus kepada 2.77 peratus manakala BFR diturunkan daripada 6.22 peratus kepada 5.72 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Muazzam Mohamed berkata semakan turun kadar tersebut tepat pada masanya memandangkan tempoh moratorium akan berakhir.

"Kami menjangkakan langkah ini mengurangkan kesan pasca moratorium yang dialami sebahagian besar pelanggan kami, iaitu dengan meringankan komitmen bayaran ansuran bulanan mereka.

"Bank Islam sentiasa memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi perhatian, terutama dalam mengharungi persekitaran semasa yang mencabar. Bank ini juga menyediakan khidmat rundingan berkaitan pengaturan pembayaran pembiayaan untuk pelanggan yang terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata Bank Islam komited untuk terus menawarkan pelbagai penyelesaian kewangan yang memenuhi kehendak dan jangkaan pelanggan.

Bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik, Bank Islam akan terus mendukung prinsip kemampanan perniagaan dengan memanfaatkan kemajuan teknologi dan inovasi, katanya.

— BERNAMA