Sri Ayu Kartika Amri

[email protected]

BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), menggalakkan pelanggannya yang terjejas akibat Covid-19 untuk menghubungi bank bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama enam bulan dijadualkan tamat September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya peka dengan keperluan pelanggan.

Katanya, dan secara proaktif telah menyediakan pelbagai penyelesaian berdaya maju untuk membantu mereka mengatasi keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat pandemik yang memberi kesan kepada perniagaan kecil dan runcit.

“Segmen terbabit juga adalah kumpulan portfolio pembiayaan terbesar Bank Islam.

“Covid-19 membawa cabaran yang tidak pernah dijangka, dan kesukaran yang dialami semua pihak adalah berbeza.

“Sehubungan itu, Bank Islam sudah memberi moratorium selama enam bulan dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sepanjang enam bulan pelaksanaan moratorium, Bank Islam sudah membantu lebih daripada 394,000 pelanggan daripada segenap segmen.

“Pelan strategik telah dirangka dan Bank sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan diberi keutamaan serta mereka bersedia untuk mencari jalan keluar daripada persekitaran yang mencabar ini.

“Apa yang perlu dilakukan hanyalah datang untuk berbincang dengan kami,” katanya.