Bank Dunia dijangka membantu melaksanakan program respon kepada pandemik di 100 negara pada akhir April berbanding 64 negara ketika ini. – Gambar Astro AWANI

WASHINGTON: Bank Dunia mengulangi apa yang dikatakan Dana Kewangan Antarabangsa sebelum ini berkenaan kesan COVID-19 kepada ekonomi.

Presiden Bank Dunia, David Malpass berkata penularan COVID-19 akan mengakibatkan kemelesetan global yang besar dan lebih teruk daripada krisis kewangan 2007-2008.

Jelasnya, ia akan memberikan respon yang kukuh dan pelan bantuan besar terutama kepada negara berpendapatan rendah.

“Kami menjangka kemelesetan global yang sangat besar. Jangkaan kami adalah ekonomi dunia akan menguncup lebih besar daripada krisis kewangan 2007-2008.

"Kami berikan bantuan besar terutama kepada negara IDA (Persatuan Pembangunan Antarabangsa) dengan negara berpendapatan rendah mendapat peningkatan kewangan dan geran.

"Rantaian bekalan makanan domestik adalah antara isu penting dalam penularan COVID-19. Anda tentu tahu di Afrika Timur, ada krisis belalang juta yang memberi kesan kepada bekalan makanan.

“Kami juga cuba untuk menyelesaikan isu kekurangan pekerja yang memberi kesan kepada dagangan dan logistik.

"Kehilangan pendapatan dan pekerjaan memberikan kesan kepada keupayaan orang ramai untuk membeli makanan.

"Jadi masalah permintaan dan penawaran adalah besar ketika ini dan terganggu dalam sektor kritikal seperti makanan dan rantaian bekalan pertanian. ini adalah satu daripada masalah dan kesan pandemik ini,” katanya.

Menurutnya, Bank Dunia dijangka membantu melaksanakan program respon kepada pandemik di 100 negara pada akhir April berbanding 64 negara ketika ini.

Pada jumaat, kerajaan China melaporkan KDNK suku pertama menguncup pada kadar 6.8 peratus akibat langkah yang diambil untuk mengekang penularan COVID-19.