AYAMBONG Consultancy komited untuk meluaskan rangkaian restoran Ayambong miliknya di luar Lembah Klang pada tahun depan.

Pemiliknya, Khairunnisa Ramzi berkata, ketika ini perniagaan Ayambong beroperasi di tiga lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor iaitu Taman Tun Dr Ismail (Rasta), Kota Damansara (Pusat Perdagangan Kota Damansara) dan Taman Sri Gombak yang masing-masing berkonsepkan trak makanan, gerai dalam restoran dan restoran.

Katanya, usaha dipergiat untuk menambah tujuh lagi cawangan di Lembah Klang termasuk dua dalam peringkat akhir untuk dibuka sebelum perancangan perluasan ke negeri lain dilaksanakan.

“Setakat ini, kami tidak mengehadkan sebarang bentuk operasi asalkan jenama Ayambong dapat ditempatkan di lebih banyak kawasan.

“Fokus ketika ini untuk memastikan sekurang-kurangnya 10 cawangan di Lembah Klang direalisasikan, termasuk dua trak makanan Ayambong yang akan mula beroperasi di Subang Jaya dan Pantai Dalam dalam masa sebulan dua lagi.

“Seterusnya kami akan beri tumpuan kepada peluang untuk menempatkan Ayambong di negeri lain antaranya Pahang dan Kelantan tahun depan sekiranya semua berjalan lancar,” katanya kepada Harian Metro.

Khairunnisa berkata, sasaran turut diletakkan untuk memasuki pasaran luar khususnya negara jiran seperti Indonesia namun ia untuk tempoh lima hingga 10 tahun lagi.

Malah katanya, permintaan turut diterima daripada beberapa pihak yang berminat menjadi francaisi Ayambong untuk tujuan pembukaan cawangan di kawasan tertentu.

“Dalam masa tidak sampai empat bulan, banyak peluang perniagaan hadir yang memerlukan kami meneliti sebaik mungkin potensi sesuai dengan kemampuan kami.

“Kami tidak mendapat apa-apa pembiayaan untuk Ayambong, hanya simpanan sendiri selain bantuan kewangan daripada kerajaan seperti Prihatin (Bantuan Prihatin Nasional) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) susulan syarikat tempat suami bekerja ditutup malah saya juga tidak menerima gaji akibat krisis Covid-19 sebelum ini.

“Mungkin pembiayaan akan diperlukan kelak namun buat masa ini kami berbelanja dengan sangat berhati-hati bagi memastikan rekod aliran tunai yang baik untuk syarikat,” katanya.

Jelas Khairunnisa, berbanding hanya satu menu dijual pada peringkat awal ketika Ayambong mula beroperasi pada Mei lalu, kini satu lagi menu ayam diperkenalkan selain ikan tenggiri dan sotong sebagai tambahan pilihan buat pelanggan.

Menurutnya, secara purata dianggarkan 600 ayam terjual setiap bulan membabitkan ketiga-tiga cawangan manakala ikan tenggiri dan sotong adalah menu yang baharu saja diperkenalkan dan masih di peringkat percubaan.

“Menu sulung kami adalah ayam bong iaitu nasi bersama ayam goreng disalut sambal kicap yang mana sambutan terhadapnya memang tidak diduga apabila sehingga 20 ekor terjual dalam sehari pada hujung minggu.

“Kini dengan satu lagi menu iaitu ayam balut terdiri daripada ayam goreng kunyit disalut sambal berapi, kami jangka jumlahnya lebih tinggi terutama apabila cawangan lain dibuka nanti,” katanya.