Axiata Group Berhad berada di landasan tepat menerbitkan sukuk bernilai AS$1 bilion (RM4.25 bilion) menjelang bulan depan menjadikannya sukuk korporat terbesar di Malaysia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, separuh daripada sukuk itu akan digunakan untuk pembiayaan semula kewangan kumpulan.

Katanya, Axiata juga melantik empat bank utama yang akan menguruskan terbitan sukuk berkenaan iaitu CIMB Bank, UBS Bank, Standard Chartered Bank dan CitiBank.

“Kami percaya melalui terbitan sukuk ini, ia menjadi antara langkah untuk menguruskan kemampuan aset bagi tempoh jangka panjang antara 10 hingga 30 tahun.

“Kami jangka sukuk ini akan diterbitkan bulan depan,” katanya pada sidang media di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Axiata ke-28 di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid.

Sementara itu, Izzadin berkata, syarikat telekomunikasi itu komited untuk terus menjadi peneraju digital generasi baharu menjelang 2023/2024.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada tiga cabang perniagaan membabitkan Telekomunikasi Digital, Perniagaan Digital dan Infrastruktur dalam usaha memperkukuh prestasi kewangan, pertumbuhan jangka panjang dan menghadapi perubahan struktur melalui pengoptimuman portfolio dan penyatuan industri.

“Axiata juga mahu menjadi peneraju dalam kewangan digital dan pengiklanan digital menerusi dua syarikat miliknya Boost dan Aspirasi.

“Bagi perniagaan infrastruktur, Axiata juga mahu menjadi syarikat terkemuka global dengan kedudukan lima terbaik dunia,” katanya.

Menyentuh mengenai perbelanjaan modal (capex) Axiata iaitu sebanyak RM6 bilion yang diperuntukkan tahun ini, beliau berkata jumlah itu akan digunakan sepenuhnya bagi mengimbangi perbelanjaan sedia ada.

“Kami tidak akan mengurangkan jumlah capex tahun ini, sebaliknya kami akan menggunakan ia sebaik mungkin termasuk untuk disalurkan bagi menghadapi perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.