Kuala Lumpur: Axiata Group Bhd memperuntukkan perbelanjaan modal (Capex) sebanyak RM6.5 bilion bagi tahun kewangan 2021 dalam usaha kumpulan itu meneruskan pengembangan dan merebut peluang pertumbuhan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Izzaddin Idris berkata, pihaknya juga menyasarkan pertumbuhan satu angka lebih rendah bagi perolehan dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan penulasan (Ebitda).

Katanya, walaupun berdepan persekitaran mencabar susulan Covid-19, pendapatan dan keuntungan Axiata kekal utuh.

“Kami berharap dapat mengumumkan rakan kongsi ekuiti tunggal untuk permohonan lesen bank digital tidak lama lagi, rakan kongsi tunggal memudahkan kami untuk merancang model perniagaan.

“Selain itu, kami juga akan menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi lain sebagai rakan kongsi komersial,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam bagi membentangkan prestasi Kumpulan bagi tahun kewangan 2020.

Axiata mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM365 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM1.45 bilion pada 2019.

Pendapatannya juga merosot 1.5 peratus kepada RM24.2 bilion berbanding RM24.5 bilion susulan impak langkah kawalan dan sekatan perjalanan bagi membendung penularan Covid-19 memberi cabaran kepada pengedaran dalam pasaran ia beroperasi.

Lembaran imbangan Axiata kekal kukuh dengan baki tunai tinggi berjumlah RM7.2 bilion dan hutang kasar kepada Ebitda pada 2.57 kali, mengukuhkan kedudukannya untuk berdepan ketidaktentuan ekonomi dan pandemik yang dijangkakan pada 2021.

Capex yang optimum meningkatkan aliran tunai bebas operasinya (OFCF) sebanyak 73.1 peratus kepada RM3.3 bilion.

Sementara itu, Izzaddin berkata, Axiata akan terus menyokong aspirasi Malaysia seperti Jalinan Digital Negara (Jendela) dan sejajar dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB) untuk meningkatkan kapasiti negara ke arah ekonomi digital dan memanfaatkan peluang Revolusi Perindustrian 4.0.

“Celcom akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap penubuhan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi memastikan kejayaan pelaksanaan infrastruktur 5G,” katanya.

Lembaga Pengarah Axiata turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak lima sen, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2020 sebanyak tujuh sen, sekali gus meletakkan Axiata dalam landasan untuk menjadi syarikat yang memberikan dividen tinggi dengan sasaran dividen 20 sen sesaham menjelang 2024.