Astro dan Allo umum kerjasama strategik yang membolehkan Astro menawarkan perkhidmatan jalur lebar dan kandungan yang unik kepada capaian sedia ada dan baharu yang dihubungkan Allo.

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) dan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) mengumumkan kerjasama strategik yang membolehkan Astro menawarkan perkhidmatan jalur lebar dan kandungan yang unik kepada capaian sedia ada dan baharu yang dihubungkan Allo.

Tawaran ini akan memberikan pengguna menikmati sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi dan kandungan Astro.

Kerjasama ini adalah usaha Astro untuk mendukung inisiatif Pelan Gantian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilaksanakan kerajaan.

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif kedua-dua syarikat, Henry Tan mewakili Astro manakala Rodzi Ahmad bagi Allo.

Henry Tan berkata meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dikuat kuasa, perkhidmatan Astro masih berjalan seperti biasa.

"Astro teruja untuk mengumumkan kerjasama dengan Allo untuk perkhidmatan jalur lebar dan kandungan.

"Allo mempunyai pelan pelaksanaan di seluruh negara yang memberangsangkan. Kami yakin ini akan membuka peluang baharu untuk Astro sejajar dengan strategi jalur lebar kami.

“Kerjasama ini akan meluaskan capaian jalur lebar sedia ada daripada TM, Maxis dan TIME kepada lebih 150,000 isi rumah dan perniagaan baharu dalam tempoh 18 bulan akan datang.

"Ini akan membantu kami memperluaskan capaian jalur lebar Astro ke kawasan seperti Alor Gajah, Cyberjaya, Bangsar South dan banyak lagi kawasan pinggir bandar," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad berkata Allo akan terus meluaskan perkhidmatan gentian optiknya ke seluruh negara di bawah inisiatif NFCP bermula di Melaka, Perak, Johor, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

"Kami mengalu-alukan kerjasama Astro ini untuk sama-sama terus berkembang menerusi pelan pengembangan ini.

"Allo memfokuskan untuk meluaskan sambungan gentian optik ke kawasan luar capaian yang berdaya maju.

Justeru, kerjasama ini membolehkan kami memperluaskan perkhidmatan jalur lebar dan kandungan berkelajuan tinggi ke kawasan-kawasan ini untuk dinikmati pengguna.

"Melalui konsep akses terbuka bagi infrastruktur borong yang membolehkan pelbagai perkhidmatan dari Penyedia Perkhidmatan Runcit (RSP), Allo berharap tawaran jalur lebar dan kandungan ini dapat diperkenalkan pada harga yang kompetitif dan diakses oleh pelanggan," jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Astro akan dapat menjual semula semua produk jalur lebar Allo, termasuk jalur lebar berkelajuan sehingga 1 Gbps.

Semasa pelancaran, Astro akan menawarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi berkelajuan 50 Mbps dan 100 Mbps yang menjimatkan kos, pada harga RM99 dan RM129.

Kandungan ditawarkan termasuklah Pek Keluarga Astro dengan lebih daripada 40 saluran antaranya Astro Ria, Astro Prima, Astro Arena, Astro Awani, Astro AEC, Astro Xiao Tai Yang, NatGeo WILD, FOXlife dan kandungan HD.

Selain mengatasi jurang digital antara kawasan dalam dan luar bandar, Henry berkata tawaran ini akan meningkatkan penglibatan pelanggan, membolehkan mereka menikmati rancangan TV kegemaran dan ribuan rancangan Astro On Demand melalui set-top box dan peranti yang dihubungkan seperti telefon bimbit dan tablet.

"Tawaran jalur lebar Astro ini unik kerana bukan sahaja ia memenuhi gaya hidup keluarga moden tetapi juga keperluan individu untuk mendapatkan maklumat, hiburan dan terus berhubung," ujar beliau.

Pelanggan juga akan menikmati akses percuma ke Astro GO yang membolehkan penstriman video mengikut keselesaan mereka.

Pelanggan digalakkan untuk menyambungkan set-top box mereka untuk menikmati lebih daripada 15,000 kandungan On Demand, sebahagian daripada tawaran ini.