AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengisytiharkan pengagihan pendapatan 3.32 sen seunit untuk ASN Imbang (Mixed Asset Balanced) 1 (ASN Imbang 1) berjumlah RM40.57 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2020.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata, ini menyaksikan kadar hasil dividen sebanyak 3.60 peratus berdasarkan jangkaan nilai aset bersih (NAV) dana pada 30 November 2020.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah pengagihan pendapatan itu dibayar kepada 46,156 pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 1.22 bilion unit.

“Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 3.23 peratus untuk tahun kewangan semasa setakat 26 November 2020, daripada 1,561.73 mata kepada 1,612.11 mata dalam tempoh sama.

“Peningkatan itu, walaupun sedikit adalah perkembangan yang baik buat PNB yang sentiasa komited dalam usaha memberikan pulangan yang kompetitif dan perkhidmatan terbaik kepada pemegang unit dalam mengharungi wabak koronavirus yang berpanjangan ini,” katanya.

PNB juga telah melaksanakan beberapa strategi untuk meningkatkan portfolio pelaburan dengan mempelbagaikan portfolio dalam ekuiti antarabangsa dan memberi fokus kepada sektor yang kurang rentan terhadap persekitaran ekonomi semasa.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Imbang 1 adalah berdasarkan unit yang dipegang dan NAV setakat 30 November 2020.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun mereka pada 1 Disember 2020.

Urus niaga di semua cawangan ASNB dan ejen seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 27 hingga 30 November bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Disember 2020.