BANK Dunia menganggarkan 90 peratus daripada ekonomi dunia akan mengalami penguncupan tahun ini.

Kemerosotan teruk yang berlaku bermakna jutaan orang di seluruh dunia termasuk di Malaysia akan terjejas akibat penyakit dan kehilangan pekerjaan serta mata pencarian.

Kesan pandemik Covid-19 juga dijangka menyebabkan peningkatan kemiskinan ekstrem global buat pertama kalinya sejak 1998.

Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina, Thailand, Asia Timur dan Pasifik, Ndiame Diop berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran, ada tanda menggalakkan yang menunjukkan Malaysia mampu menangani krisis ini dengan lebih baik berbanding negara lain.

Katanya, ekonomi negara mempunyai asas kukuh dan struktur ekonomi yang pelbagai seperti sistem kewangan yang mantap dan langkah pengurusan kesihatan awam yang berkesan serta sokongan dasar makroekonomi yang proaktif membantu mengurangkan kesan pandemik.

“Walaupun kita menjangkakan ekonomi akan menguncup dengan ketara tahun ini dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun 3.1 peratus termasuk penguncupan yang ketara pada suku kedua serta ketidaktentuan terhadap pemulihan ekonomi, kita masih ada harapan.

“Kerajaan sudah menggerakkan strategi enam peringkat yang mampu memacu semula ekonomi secara kukuh dan berdaya tahan.

“Kita memasuki peringkat pemulihan yang keempat yang menjadi asas kepada peringkat yang seterusnya dalam usaha menghidupkan dan membentuk semula ekonomi.

“Ini bermakna kerajaan bukan sahaja berazam untuk keluar daripada krisis ini, tetapi juga berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada sebelum ini supaya dapat menangani krisis lain pada masa akan datang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian antaranya kerajaan mungkin perlu melakukan lebih lagi untuk melindungi mereka yang sangat memerlukan terutama isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas, walaupun sokongan dasar yang penting sudah dilaksanakan.

“Walaupun sesetengah aktiviti ekonomi akan meningkat semula selepas sekatan pergerakan ditamatkan, namun pendapatan dan peluang pekerjaan akan mengambil masa untuk pulih, walaupun sesetengah bahagian ekonomi (seperti sektor perkilangan) akan menyaksikan pertumbuhan yang lebih cepat berbanding sektor lain (seperti pelancongan).

“Ini mungkin bermakna bantuan kewangan tambahan perlu diberikan kepada golongan yang terjejas, terutama kumpulan B40 yang tiada wang simpanan dan rangkaian sokongan untuk berdepan dengan kesan berpanjangan yang menjejaskan punca pendapatan mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19