USAHAWAN dalam bidang teknologi mewakili sebahagian besar dalam senarai penasihat terbaharu

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam usahanya membuka semula ekonomi negara berkenaan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Business Insider AS melaporkan, kumpulan yang digelar Great American Economic Revival Industry Group itu disertai individu berpengaruh daripada pelbagai latar belakang antaranya sektor perbankan, peruncitan, sukan, teknologi dan ahli fikir.

Rumah Putih dalam kenyataan berkata, kumpulan itu akan bekerjasama dengan Rumah Putih untuk merencana masa depan bagi mengembalikan kegemilangan AS.

Trump mendedahkan senarai nama itu Selasa lalu dan memberi bayangan AS akan mengembalikan aktiviti ekonomi secepat mungkin selepas pulih daripada pandemik Covid-19.

“Mereka akan bekerjasama dengan Rumah Putih untuk memulihkan semula ekonomi AS tidak lama lagi,” katanya.

Antara nama yang disenaraikan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos; CEO Tesla (Elon Musk); CEO Apple (Tim Cook) dan CEO Facebook (Mark Zuckerberg) dan CEO 3M (Mike Roman).

Selain itu, CEO Coca-Cola (James Quincey) dan CEO McDonald’s (Chris Kempczinski) turut disenaraikan dalam kumpulan berkenaan.

Trump turut menyenaraikan individu berlatar belakang industri kewangan dan pelaburan seperti CEO JPMorgan Chase (Jamie Dimon), CEO Goldman Sachs (David Solomon) dan CEO Blackstone (Stephen Schwarzman).

Malah, individu dari segmen sukan dan hiburan juga menjadi antara penasihat terbaharu Trump antaranya CEO WWE (Vince McMahon), CEO Liberty Media (John Malone); pemilik kelab bola sepak Amerika, New England Patriots (Bob Kraft) dan pemilik pasukan bola keranjang Dallas Mavericks, (Mark Cuban).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19