Aplikasi Ganu Shop mengandungi elemen peniaga, pembeli, penghantar makanan dan pembayaran diwujudkan sebagai pengganti kepada penganjuran bazar Ramadan tahun ini. – Gambar Astro AWANI

KUALA TERENGGANU: Aplikasi Ganu Shop yang disediakan Kerajaan Terengganu memberi limpahan rezeki buat lebih 8,000 peniaga di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Ahmad Farhan Abdul Wahab, platform yang diwujudkan itu bagi menggantikan bazar Ramadan yang tidak dapat beroperasi pada tahun ini.

Menurutnya, walaupun baru diperkenalkan pada 24 April lalu, namun ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peniaga dan pembeli.

“Sehingga kini, Ganu Shop mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peniaga dan pembeli kerana mereka mendapati aplikasi yang digunakan sangat mudah.

“Selain mudah dimuat turun, ia juga mudah kerana menggunakan WhatsApp  dan terus dengan pengguna. Jika ada masalah, mereka boleh menghubungi atau (menghantar pesanan) WhatsApp kepada peniaga dan mendapatkan maklum balas mengenai produk berkenaan.

“Kadang-kadang pengguna juga boleh tahu bagaimana barangan atau produk yang disediakan untuk mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, platform itu juga turut memberi nilai tambah kepada peniaga untuk mempromosikan produk jualan mereka.

Jelasnya, seramai 8,600 peniaga dan 3,807 pembeli telah menggunakan aplikasi tersebut.

“Dapat manfaat atau rahmat daripada PKP ini kerana sebelum ini, peniaga-peniaga hanya menggunakan cara manual tetapi dalam keadaan sebegini, mereka memang terpaksa guna aplikasi Ganu Shop dan dapat memberi nilai tambah kepada mereka,” katanya.

Ahmad Farhan berkata, rangkaian Ganu Shop juga lebih menyeluruh dari kawasan bandar sehingga ke kampung.

Ujarnya, sebanyak 3,919 produk disediakan menerusi platform itu dan harga yang ditawarkan juga berpatutuan.

Aplikasi Ganu Shop mengandungi elemen peniaga, pembeli, penghantar makanan dan pembayaran diwujudkan sebagai pengganti kepada penganjuran bazar Ramadan tahun ini.

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mengetuai aplikasi itu dan operasinya dikendalikan semua pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN).