AMINVEST dianugerahkan sebagai Pengurus Dana Persaraan Terbaik Malaysia oleh Asia Asset Management buat kali kedua berturut-turut melalui 2020 Best of the Best Awards.

Asia Asset Management sudah menilai AmInvest dalam tempoh tiga tahun dan lima tahun mengenai cara ia menguruskan dana persaraan dan dana Skim Persaraan Swasta (PRS), saiz dana yang dikendalikan dan pulangannya selain inisiatif pendidikan pelabur yang dilaksanakan.

Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir dalam kenyataan berkata, perniagaan dana pencen AmInvest terus meningkat dari tahun ke tahun.

“Kami sudah mengurus dana selama 39 tahun dan kemampuan pasukan kami untuk mengenal pasti peluang pelaburan dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah memainkan peranan penting dalam membantu pelabur kami mengembangkan portfolio persaraan mereka,” katanya.

Menurutnya, sejak lima tahun lalu, setakat pada Disember 2019, mandat pencen AmInvest dan aset di bawah pengurusan (AUM) dana AmPRS meningkat sebanyak 28 peratus atau sekitar RM3.1 bilion.

“Kami menawarkan salah satu penyelesaian persaraan yang pelbagai dalam pasaran dari segi kelas aset terdiri daripada sembilan dana AmPRS untuk dipilih oleh pelabur Malaysia mengikut keperluan persaraan, tujuan dan toleransi risiko masing-masing,” katanya.

Selama bertahun-tahun, AmInvest sudah menerima pelbagai anugerah kerana kepakaran dan kemampuannya dalam menguruskan dana pencen.

Asia Asset Management adalah penerbitan yang berpangkalan di Hong Kong yang menyediakan berita mengenai industri pengurusan aset di Asia.