Kuala Lumpur: BANK Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan yang seimbang bagi membolehkan kemasukan bank digital dengan tawaran nilai yang kukuh dan berkeupayaan memelihara integriti dan kestabilan sistem kewangan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah.

“Melalui pendekatan ini, BNM menetapkan had ke atas aset kumulatif yang boleh dijana oleh bank digital agar tidak melebihi RM2 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun awal operasi.

“‘Fasa asas ini bertujuan untuk bank digital menunjukkan daya maju dan kekukuhan operasi mereka manakala di pihak BNM, tempoh berkenaan adalah bagi memantau prestasi dan sebarang risiko yang mungkin timbul,” katanya pada persidangan Dewan Negara semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee yang ingin tahu mengenai cadangan BNM untuk mengeluarkan lesen bank digital bagi urusan perbankan konvensional dan secara Islam serta status semasa dan bagaimana kementerian akan mengawal selia perbankan digital.

Mohd Shahar berkata, tempoh rundingan Draf Dedahan Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital tamat pada 30 Jun lalu.

Katanya, BNM menerima hampir 50 maklum balas dan kini mengkaji semua maklum balas itu sebelum memuktamadkan dokumen dasar pelesenan bank digital dan membuka permohonan bagi lesen itu.

Beliau berkata, bank digital perlu mematuhi keperluan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), termasuk keperluan berkaitan standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna serta pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan aktiviti keganasan.