MALAYSIA perlu mencontohi negara China yang mengambil pendekatan berkesan dalam meningkatkan perkhidmatan dalam taliannya (online).

Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, hubungan diplomatik dan perdagangan terjalin lebih 45 tahun lalu antara Malaysia dan China perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Katanya, ini kerana banyak perkara boleh dipelajari daripada pengalaman China terutama dari segi peningkatan ekonomi.

“Kita kena melihat keadaan sekarang ini terutama ketika pandemik Covid-19. Bagaimana China menggubal dasar mereka bagi memastikan perkhidmatan online berada pada tahap lebih maju berbanding sebelum Covid-19.

“Ini antara cara yang mereka laksanakan untuk meningkatkan ekonomi yang lebih kompetitif.

“Saya rasa di Malaysia kita perlu buat perkara sama dan harus fikir cara lebih fleksibel bagaimana hendak berniaga dan sebagainya,” katanya menerusi siaran langsung secara Sykpe di rancangan Selamat Pagi Malaysia TV1 di sini, semalam.

Beliau berkata, banyak lagi perkara dan pengalaman yang boleh Malaysia pelajari daripada negara China.

“Dan sebenarnya banyak juga pengalaman Malaysia yang mereka boleh pelajari dan ini proses melengkapi di mana kita saling belajar dan mempelajari antara kedua-dua negara.

“Malah, hakikatnya hubungan kita dengan China sudah terjalin sejak beribu tahun lama dulu dan kita memang akrab dengan China dan kita memahami pemikiran orang China dan kerajaan China.

“Mereka juga faham yang kita sebenarnya mempunyai kepentingan yang sama, bak kata pepatah Melayu yang suka diulangi oleh kerajaan China, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan itulah keadaannya sekarang ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19