KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa & Industri (Miti) akan sentiasa  bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan ekonomi negara dapat bergerak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Ekonomi) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun kerajaan bersetuju membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi ketika PKP namun keputusannya perlu mengambil kira pandangan KKM dan MKN.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, ia bagi memastikan ekonomi negara berjalan dengan baik sepanjang pelaksanaan perintah berkenaan.

“Di samping PKP, kita mahu ekonomi negara dapat berjalan seiring, tetapi tertakluk kepada syarat KKM kerana KKM sudah mengemukakan SOP (prosedur operasi tetap) yang cukup komprehensif dan ketat untuk dipatuhi semua pengusaha dan syarikat yang ingin beroperasi.

“Miti sentiasa mengkoordinasi SOP dengan KKM dan MKN dalam memastikan syarikat dibenarkan beroperasi tidak melanggar syarat ditetapkan.

“Malah, barisan hadapan ekonomi seperti pegawai Miti dan agensi kerajaan lain yang terbabit memproses permohonan syarikat sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu bekerja setiap hari dan 24 jam bagi memastikan proses berjalan lancar,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) ke pusat operasi Miti di sini, semalam.

Kunjungan itu diketuai Pengerusinya, Datuk Syed Hussian Aljunid dan disertai Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial Media Prima, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mustapha Kamil Mohd Janor.

Azmin berkata, semua permohonan diproses dan melalui penilaian agensi berkaitan lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan penghargaan kepada semua yang terbabit bagi membantu bilik operasi ini berfungsi melaksanakan keputusan kerajaan dalam membenarkan sektor penting beroperasi.

“Setakat hari ini (semalam), untuk PKP tahap ketiga, Miti menerima lebih 50,000 permohonan. Sebagai contoh, daripada Mosti saja ada 3,000 diterima dan proses ini sedang berjalan.

“Pegawai terbabit (antaranya dari Miti, Mosti dan Mida) ini membantu kita memberi input sama ada permohonan itu boleh dipertimbangkan atau sebaliknya,” katanya.

Selain bilik operasi, Miti menyediakan pusat panggilan bagi menerima aduan dan pertanyaan pengusaha dan syarikat.