Kuala Lumpur: FGV Holdings Bhd (FGV) melalui subsidiarinya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd melancarkan jenama makanan haiwan berkualiti tinggi, ALMA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, jualan domestik dedak isirong (PKE) dan produk makanan haiwan meningkat daripada 8,000 tan yang dicatatkan pada 2018 kepada 39,000 tan tahun lalu dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 121 peratus.

“Untuk 2021, FGV memperuntukkan 75,000 tan bersamaan dengan 20 peratus pengeluaran PKE tahunan kami bagi penghasilan makanan haiwan serta kami menyasarkan mencapai 150,000 tan menjelang 2024,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik ruminan di Malaysia, petani tempatan memerlukan kira-kira 240,000 tan makanan haiwan setahun dan pada tahun lalu, FGV memenuhi 17 peratus daripada jumlah yang diperlukan.

“Kami akan dapat membekalkan kira-kira 60 peratus permintaan tempatan untuk makanan haiwan menjelang 2024,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, FGV akan terus menyokong industri makanan haiwan tempatan supaya industri itu boleh mampu diri.

Beliau berkata, rangkaian produk makanan haiwan ALMA itu adalah bebas antibiotik dan mengandungi formulasi yang sihat untuk daging lembu, makanan lembu tenusu, makanan kambing dan kambing biri-biri, ayam, makanan mineral semula jadi termasuk makanan tambahan untuk ternakan.

“Kami juga sudah mengadakan program pengedaran bagi memastikan makanan itu sampai kepada petani tempatan dengan berkesan di seluruh Semenanjung dan akan meningkatkan bilangan pengedar pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Haris Fadzilah berkata, FGV dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) sudah bekerjasama dalam membantu penternak haiwan tempatan yang terjejas akibat banjir di Selangor, Pahang, Kelantan dan Terengganu sebelum ini.