MEMATUHI saranan kerajaan ‘Malaysia duduk di rumah’ membawa kepada peningkatan pembelian barangan keperluan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

Lebih mengejutkan apabila berlaku peningkatan mendadak untuk produk perancangan keluarga seperti alat permainan seks dengan kenaikan 347 peratus, alat ujian kesuburan (79 peratus) dan kondom (61 peratus).

Menurut kajian syarikat e-dagang iPrice, rakyat Malaysia memilih pembelian dalam talian bagi memenuhi keperluan dan kehendak harian.

Rimas rambut yang tidak terurus sepanjang empat minggu PKP membawa kepada peningkatan mendadak alat pencukur elektrik dalam carian laman web syarikat berkenaan dengan kenaikan 17,652 peratus.

Berdasarkan lebih 900,000 maklum balas pengguna dari 18 Mac hingga 20 April, iPrice mendapati pengguna juga terdorong membeli permainan dalaman untuk mengurangkan rasa bosan di rumah.

Rata-rata pengguna mencari permainan dalaman seperti Nintendo dengan peningkatan 1,064 peratus, permainan Animal Crossing (17,427 peratus) dan permainan papan seperti Monopoli (4,336 peratus).

Selain permainan dalaman, peralatan gim seperti lompat tali dan tikar yoga antara produk carian yang diminati dengan peningkatan masing-masing 4,528 peratus dan 2,016 peratus.

Kajian itu turut mendapati masa terluang di rumah membawa kepada minat rata-rata rakyat Malaysia bereksperimen dengan pelbagai jenis resepi sehingga wujudnya laman bualan Masak Apa Tak Jadi Hari Ni di Facebook.

Berdasarkan data yang dikumpul, peningkatan sebanyak 7,587 peratus dicatatkan bagi peralatan pengadun roti disusuli peralatan memasak lain seperti pengadun (3,048 peratus), air fryer (2,029 peratus) dan mesin ketuhar (1,058 peratus).

Di samping itu, carian peralatan komputer riba dan tablet turut meningkat susulan kebanyakan organisasi mengarahkan kakitangan berkerja dari rumah bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak Covid-19.

Secara purata, carian tablet meningkat 1,125 peratus, sementara komputer riba mencatatkan peningkatan minat carian sebanyak 299 peratus.

Di samping itu, dalam kategori perubatan tidak mengejutkan apabila terdapat peningkatan minat carian sebanyak 648 peratus untuk penutup hidung dan mulut tiga lapis dan N95.

Kajian analisis carian produk ini diperoleh melalui perbandingan catatan data dari 18 Mac sehingga 17 April 2020 dan dari 16 Februari 2019 sehingga 17 Mac 2020.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan