Kuala Lumpur: AirAsia Group Bhd berjaya melaksanakan penempatan saham swasta tahap kedua dengan menambah sejumlah 100.36 juta saham biasa baharu yang diterbitkan.

Ia mewakili 3.0 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat pada harga terbitan 86.5 setiap satu.

Kejayaan ini selepas penempatan tahap pertama berjumlah 11.07 peratus atau 369.85 juta saham yang diterbitkan pada 19 Februari lalu menyaksikan kemunculan pelabur yang berpangkalan di Hong Kong, Dr Stanley Choi Chiu Fai sebagai antara pemegang saham terbesar selepas meningkatkan pegangannya kepada 8.96 peratus.

Secara keseluruhan, kedua-dua tahap menjadikan saham baharu diterbitkan itu berjumlah 470.21 juta di bawah pelaksanaan penempatan saham swasta, mewakili 14.07 peratus daripada jumlah saham terbitan AirAsia Group dan berjaya mengumpul RM336.46 juta.

Pemegang saham AirAsia Group dan Bursa Malaysia Securities Bhd sebelum ini meluluskan pelaksanaan penempatan swasta oleh AirAsia Group sehingga 20 peratus daripada jumlah saham AirAsia Group yang diterbitkan.

Pelaksanaan penempatan saham swasta ini juga adalah sebahagian daripada rancangan besar AirAsia Group untuk mengumpul antara RM2.0 bilion hingga 2.5 bilion melalui gabungan hutang dan ekuiti untuk membiayai antara lain, keperluan modal di bawah AirAsia Group.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kejayaan penempatan saham swasta dan sambutan luar biasa oleh pelabur tempatan dan asing yang terkenal bukti keteguhan syarikat dan potensi masa depan yang cerah terutama dengan transformasi ke arah perniagaan digital dan data.

“Kami berbesar hati dengan keyakinan pelabur terhadap rancangan pemulihan dan ini membuktikan kemampuan kami untuk mengumpulkan dana daripada pelabur strategik dalam pasaran modal, di dalam dan luar negara.

“Dengan pengumuman ini, saya yakin bahawa kami bukan sahaja mempunyai asas dan platform yang tepat untuk pulih lebih cepat daripada pesaing, malah akan kembali dengan semangat yang lebih kuat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain Choi yang juga Pengerusi Head & Shoulders Financial Group, antara pelabur utama lain yang menjayakan pelaksanaan penempatan swasta ini termasuk David Bonderman dan rakan pelabur dari TPG Capital.