AirAsia akan melaksanakan beberapa prosedur tanpa sentuhan bagi perjalanan penting termasuk pembayaran tanpa sentuhan di lapangan terbang, kios tanpa sentuhan, Sistem Penyelarasan Penumpang (PRS) serta ciri-ciri baharu yang dikemas kini pada aplikasi mudah alihnya untuk memastikan perjalanan lancar dan selamat.

Syarikat penerbangan itu kini menyediakan pilihan pembayaran tanpa sentuhan secara Wave untuk pembayaran melalui AliPay dan WeChat Pay di klia2 di Malaysia diikuti oleh lapangan terbang lain secara beransur-ansur.

Pilihan lain seperti BigPay dan Touch N Go juga bakal tersedia tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia Javed Malik berkata, kiosk tanpa sentuhan sudah boleh didapati di semua lapangan terbang yang beroperasi di seluruh Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Jepun.

“Penumpang yang membuat perjalanan penting boleh mencetak pas masuk dan tag bagasi mereka selepas mendaftar masuk secara dalam talian di airasia.com atau melalui aplikasi mudah alih untuk pengalaman daftar masuk tanpa sentuhan sepenuhnya,” katanya.

“Prosedur perjalanan tanpa sentuhan yang lain termasuklah Sistem Penyelarasan Penumpang (PRS) akan tersedia di Klia2, diikuti oleh lapangan terbang lain di Malaysia di mana AirAsia beroperasi. PRS tidak memerlukan pertukaran pas masuk antara penumpang dan AVSEC (pihak keselamatan penerbangan) kerana mereka hanya perlu mengimbasnya.

“Selain itu, AirAsia juga telah mendigitalkan proses menaiki penerbangan dengan mengimbas semua pas masuk di pintu pelepasan dan tidak lagi mengambil pas masuk fizikal,” katanya.

Menurutnya, aplikasi mudah alih AirAsia pula akan dikemas kini pada bulan ini dengan ciri-ciri baharu di mana penumpang boleh mengimbas pasport mereka melalui aplikasi itu dan merancang untuk menambah ciri-ciri lain seperti imbasan visa perjalanan dalam masa terdekat.

“Selain langkah keselamatan ketat di lapangan terbang seperti penanda penjarakan sosial dan Allstars yang memakai peralatan perlindungan diri, kami berbesar hati untuk memperkenalkan prosedur tanpa sentuhan yang dikemas kini untuk memberikan pengalaman lebih selamat, cekap, dan tanpa sentuhan untuk penumpang.

“Keselamatan tetamu dan Allstars adalah keutamaan kami dan prosedur tambahan ini adalah bukti komitmen berterusan kami untuk memastikan keselamatan perjalanan dalam persekitaran kebiasaan baharu bagi perjalanan udara,” katanya.