Kuala Lumpur: AirAsia.com mengumumkan kerjasama strategik dengan Agoda untuk meningkatkan aktiviti pelancongan di rantau Asia Tenggara.

AirAsia.com adalah platform e-dagang gaya hidup dan pelancongan yang paling pesat berkembang di rantau ini.

Agoda pula adalah platform digital pelancongan terkemuka dunia.

Dalam satu kenyataan, kedua-dua pihak berkata, kerjasama itu membolehkan pengguna mendapat pilihan yang lebih banyak dengan tawaran menjimatkan.

Ia menerusi perkongsian inventori hotel dan penerbangan antara kedua-dua platform pelancongan terkemuka itu.

“Inisiatif termasuk pakej pelancongan menarik, tawaran istimewa untuk ahli dan promosi bersama antara kedua-dua platform,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, pelanggan AirAsia.com boleh memilih daripada 600,000 premis penginapan yang ditawarkan menerusi Agoda.

“Ini ditambah dengan penjimatan menerusi pakej SNAP untuk pakej penerbangan dan hotel di airasia.com.

“Ia bakal menawarkan pengguna dengan jaminan harga terbaik,’ katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk meningkatkan sektor pelancongan di rantau ini.

Beliau berkata, ia juga sebagai persediaan apabila banyak negara di rantau ini dijangka mula membuka sempadan negara, tidak lama lagi.

“Kita mengambil dalam tempoh ini untuk menjalin rakan kongsi strategik seperti Agoda. ia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, CEO Agoda John Brown pula berkata, pihaknya percaya keinginan masyarakat untuk melancong adalah masih tinggi.

“Justeru, kerjasama dengan AirAsia ini dapat membantu orang ramai untuk mencari pakej pelancongan terbaik buat mereka,” katanya.