AIRASIA Group Bhd (AirAsia) komited membantu usahawan tempatan yang mungkin terjejas akibat krisis pandemik Covid-19 menerusi penganjuran kempen Save Our Shops di platform e-dagang miliknya, OURSHOP.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Meranun berkata, menerusi kempen itu, peruncit boleh mendaftar untuk memasarkan produk mereka di OURSHOP tanpa komisen dan fi penyenaraian sepanjang bulan ini.

Jelas beliau, peruncit secara tidak langsung memperoleh manfaat daripada platform e-dagang itu yang akan dihoskan di laman web airasia.com yang mempunyai jumlah trafik yang ketara.

“Menyedari kedudukan perniagaan terjejas akibat Covid-19 disertai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami membuka ekosistem dan menawarkan sumber sedia ada buat semua peniaga tempatan bermula di Semenanjung.

“Jika sebelum ini kami berkhidmat dengan cara menerbangkan rakyat ke destinasi mereka, kini kami mahu menggunakan sumber dimiliki untuk membantu sebanyak mungkin peniaga baik mikro, kecil mahupun sederhana supaya dapat bertahan dan terus menjana ekonomi dalam waktu begini,” katanya.

Menurut Kamarudin, pihaknya sedia maklum pasaran semasa dibanjiri permintaan tinggi untuk pembelian dalam talian dan perkhidmatan penghantaran.

“Oleh itu, platform OURSHOP tentunya dapat membantu peniaga memperluaskan capaian perniagaan mereka ditambah dengan penyertaan Teleport,” katanya.