Kuala Lumpur: Agrobank terus menawarkan bantuan kewangan kepada pelanggannya terutama pelanggan mikro dengan menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.

Sehingga hari ini, Agrobank meluluskan lebih 9,000 permohonan untuk penstrukturan dan penjadualan semula (R&R) dan ini merangkumi lebih 8,000 permohonan daripada pelanggan mikro dan lebih 1,000 permohonan daripada pelanggan korporat, komersial, dan pengguna yang memohon sokongan kewangan tambahan untuk meredakan aliran tunai mereka kesan daripada penularan wabak Covid-19.

Inisiatif bantuan pembayaran balik bersasar ini sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2021 baru-baru ini oleh Menteri Kewangan mengenai penguatkuasaan Bantuan Pembayaran Sasaran untuk pelanggan B40, M40 dan PKS.

Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, berdasarkan Belanjawan 2021, pertanian terus menjadi komponen ekonomi yang sangat penting bagi negara dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.7 bilion untuk memperkasakan sektor pertanian dan industri makanan.

“Sebilangan besar inisiatif ini dirangka dengan baik untuk memberi manfaat kepada komuniti agro yang membabitkan semua segmen utama seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kedua-dua kumpulan B40 dan M40.

“Sebahagian besar peruntukan yang diumumkan untuk industri pertanian dan makanan mengfokuskan kepada pemulihan perniagaan komuniti agro terutama mereka yang dikategorikan di bawah B40 dan PKS.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan pelanggan datang ke mana-mana cawangan Agrobank di seluruh negara, mengadakan perbincangan secara bersemuka untuk lebih memahami pilihan bantuan pembayaran yang ada, bagi membantu mereka melalui tempoh pemulihan Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, untuk memenuhi syarat bagi mendapatkan bantuan pembayaran bersasar itu, individu B40 mesti berdaftarkan di bawah program bantuan tunai, Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), sementara individu M40 mesti berdaftar di bawah BPR manakala bagi perusahaan mikro, mereka mesti syarikat yang mempunyai kemudahan pembiayaan yang diluluskan hingga RM150, 000, sepertimana yang ditetapkan oleh SME Corp Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021