AFFIN Bank Group mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM174.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2020, berbanding RM185 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

PBT direkodkan sedikit rendah kerana peruntukan penurunan nilai lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga akibat kesan ekonomi dari persekitaran Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad (AFFINBANK), Wan Razly Abdullah Wan Ali berkata, dengan persekitaran Covid-19 ketika ini, Kumpulan memberikan bantuan kewangan sementara kepada pelanggan yang terjejas akibat pandemik ini.

“Kami memberikan nasihat kewangan menyeluruh kepada pelanggan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memastikan mereka meneruskan komitmen dalam fasa ini.

“Suku pertama menyaksikan kami mengukuhkan insfrastruktur perniagaan di mana kami komited menyampaikan produk dan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan dapat keadaan serba mencabar ini,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihaknya menggunakan platform digital secara meluas untuk terus berhubung dengan pelanggan.

“Kami terus memacu kesediaan digital dan menggalakkan pelanggan menggunakan platform perbankan dalam talian kami untuk urusan transaksi.

“Kami berada di laluan pantas dalam perjalanan transformasi Kumpulan untuk menyediakan pelanggan pengalaman perbankan lebih baik,” katanya.