Kuala Lumpur: Affin Bank Bhd akan terus menguruskan risiko kredit dengan menyediakan bantuan sementara yang bersesuaian kepada pelanggan paling terjejas dengan Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali, berkata, pihaknya juga akan memastikan terus memiliki rizab kerugian pinjaman yang mencukupi untuk melindungi bank dari kualiti aset yang melemah ketika pandemik ini.

“Kami memberi tumpuan membantu pelanggan mendepani Covid-19 dan menyediakan bantuan kewangan kepada mereka supaya mampu bertahan ketika berdepan kemelesetan ekonomi.

“Sebagai tambahan kepada Program F.A.I.R (Bantuan Pelepasan Bayaran Ansuran ) sedia ada, kami juga menawarkan program bantuan kewangan lain termasuk Skim Pembiayaan PKS Penjana dan Pembiayaan Pelancongan Penjana untuk membantu mengurangkan masalah pembayaran balik dan aliran tunai,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bank tetap komited dalam menyokong kesejahteraan kewangan pelanggan dan membantu memastikan kelangsungan perniagaan pelanggan.

“Pada 11 November lalu, kami juga memperkenalkan segmen perancangan kewangan dan kekayaan baru yang dikenali sebagai AFFIN AVANCE di mana ia adalah produk pengurusan kewangan dan kekayaan baharu yang dilengkapi dengan ganjaran unik dan perkhidmatan kewangan peribadi untuk segmen pelanggan mewah dan golongan profesional yang berfikiran ke hadapan dan aktif,” katanya.