DALAM usaha membantu usahawan berubah ke arah digital, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) membantu usahawan di bawah kendaliannya dengan memberi peluang latihan yang dikelolakan PUNB dan agensi berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Izwan Zainuddin berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PUNB ada menyediakan webinar dengan kerjasama penyedia perkhidmatan e-dagang terkemuka dan agensi berkaitan untuk memberi maklumat serta kefahaman kepada usahawan.

“Usaha ini dilakukan supaya mereka dapat beralih daripada operasi perniagaan menggunakan kaedah konvensional kepada moden yang berasaskan teknologi.

“Kami juga akan terus meningkatkan kesedaran kepada usahawan terhadap kepentingan penggunaan teknologi dan internet kebendaan (IoT) bagi melahirkan usahawan mesra dan tidak canggung perubahan teknologi yang perlu diadaptasi dalam setiap aspek perniagaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya melalui penggunaan IoT, pengurusan syarikat ditambah baik dengan kemampuan melakukan pelbagai kerja atau membuat keputusan secara dalam talian di mana-mana dan pada bila-bila masa.

“Mesyuarat, kerja pemasaran dan transaksi dilaksanakan dalam talian akan memberi kebaikan kepada usahawan terutama penjimatan kos serta penambahan produktiviti,” katanya.

Katanya, PUNB akan merancang lebih banyak aktiviti pemadanan perniagaan dengan pihak tertentu bagi membuka pasaran dan menawarkan peluang bagi memasarkan produk serta perkhidmatan usahawan di pasaran tempatan.

“Inisiatif ini sudah dijalankan dalam sektor automotif serta minyak dan gas. Malah, yang terbaharu ketika fasa PKP, PUNB bekerjasama dengan Shopee, dengan menyediakan Geran Promosi ke arah pendigitalan untuk Rakan Usahawan PUNB yang mematuhi terma dan syarat ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, untuk tahun ini, PUNB menyasarkan pengagihan pembiayaan sebanyak RM220 juta kepada lebih 300 usahawan.

“Sepanjang tempoh PKP Bersyarat ini juga usahawan masih boleh mengemukakan pertanyaan mengenai pembiayaan ditawarkan.

“Kami menawarkan pembiayaan yang bersesuaian bermula dari RM100,000 hingga RM10 juta untuk membantu usahawan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan