HONDA Malaysia merekodkan jualan lebih 920 unit bagi model Accord Generasi ke-10 sejak tempahannya dibuka pada Februari lalu.

Sehingga hari ini, varian 1.5L VTEC Turbocharged Premium (TC-P) adalah yang popular dalam kalangan penggemar kenderaan model segmen-D itu yang mewakili 78 peratus daripada jumlah keseluruhan tempahan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, hampir 500 unit Honda Accord serba baharu itu sudah diserahkan kepada pemiliknya.

“Malah, Accord juga berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam segmen-D bagi separuh pertama 2020 dengan penguasaan pasaran 40 peratus.

“Dari aspek pemilihan warna, pelanggan menggemari warna baharu, Platinum White Pearl dengan 33 peratus tempahan memilih warna ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ishiyama berkata, wilayah tengah mencatatkan tempahan hingga 42 peratus manakala selatan (23 peratus) dan utara (19 peratus).

“Model ini diperkenalkan untuk menggalakkan pasaran selain menilai semula segmen ini dengan kombinasi rekaan elegan, enjin dipertingkat selain suite penuh Honda SENSING.

“Sejak dilancarkan, prestasi jualan terus meningkat khususnya pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain pengurangan cukai jualan kenderaan.

“Kami juga ingin menyatakan penghargaan kepada pelanggan kerana percayakan Honda dan menjadikan Accord sebagai sedan eksekutif pilihan mereka,” katanya.