PERSATUAN Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) memberi jaminan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bahawa pembiayaan daripada 26 bank yang menjadi anggotanya sudah tersedia untuk peminjam yang layak.

ABM dalam kenyataan berkata, PKS yang gagal mendapat kelulusan dinasihatkan untuk mendapatkan panduan dan bantuan daripada Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP), sebuah inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu meningkatkan kelayakan pembiayaan.

PKS juga dinasihatkan untuk mencari sumber pembiayaan alternatif seperti skim Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF), yang ditadbir oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).

MyCIF menawarkan pinjaman melalui pendanaan awam ekuiti (ECF) dan/atau pembiayaan perangkai padan (P2P).

ABM juga menasihatkan PKS untuk berhubung dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) melalui portal https://imsme.com.my/, sebuah platform rujukan/pembiayaan pinjaman PKS yang memadankan keperluan pembiayaan perniagaan seseorang usahawan dan/atau PKS dengan pembiayaan atau pinjaman yang sesuai yang ditawarkan oleh bank peserta.

Melihat kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa, bank anggotanya mungkin terpaksa mengambil masa lebih lama untuk memproses permohonan pinjaman.

“Memandangkan negara berjuang mengekang penyebaran Covid-19, bank anggota kami memainkan peranan penting bagi menyediakan akses kepada pembiayaan terutamanya kepada syarikat yang berdaya maju, tetapi terjejas akibat Covid-19.

“BNM mengumumkan pada 27 Mac ia akan meningkatkan peruntukan kepada Dana BNM untuk PKS sebanyak RM4 bilion, menjadikan jumlah peruntukan kepada RM13.1 bilion,” katanya.

Katanya, dana ini yang bertujuan menyediakan bantuan kepada lebih banyak PKS bagi mengekalkan operasi perniagaan dan memelihara pekerjaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi, disediakan kepada segmen PKS melalui institusi kewangan yang mengambil bahagian.

“PKS yang berminat boleh menghubungi bank-bank yang mengambil bahagian untuk memohon pembiayaan yang terdapat di bawah pelbagai kemudahan yang diumumkan oleh BNM.

“Pada 2 April lalu institusi kewangan telah meluluskan kira-kira 1,300 permohonan di bawah ketiga-tiga kemudahan itu, (Kemudahan Bantuan Khas, Kemudahan Agromakanan, Kemudahan Automasi dan Pendigitalan) di bawah Dana BNM berjumlah RM682 juta,” katanya.

Sementara itu, bagi dua bulan pertama tahun ini, bank telah mengagihkan sebanyak RM42 bilion pembiayaan kepada PKS.

“PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia dan dianggap sebagai tulang belakang pembangunan perindustrian negara.

“Berada dalam perniagaan pinjaman, bank-bank yang menjadi anggota kami menyedari betapa pentingnya kesinambungan perniagaan untuk segmen ini dan bersedia membantu serta menyediakan akses kepada pembiayaan bagi peminjam PKS yang layak,” katanya.