SEBANYAK 92.13 peratus usahawan di negara ini memerlukan bantuan kewangan bagi menceburi perniagaan baharu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, selain bantuan kewangan, 40.45 peratus usahawan memerlukan khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan permulaan serta 31.46 peratus lagi memerlukan latihan asas keusahawanan.

Katanya, jumlah itu diambil berdasarkan laporan Kaji Selidik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap usahawan.

“Sehingga kini jumlah usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaftar di Malaysia adalah 907,065 syarikat dan 186,855 daripadanya atau 20.6 peratus adalah usahawan PKS wanita.

“Kami dapati daripada jumlah itu, 8.85 peratus perniagaan gulung tikar dan 91.15 peratus mampu meneruskan perniagaan manakala 58.55 peratus bersedia menceburi bidang baharu dan 41.45 peratus sebaliknya.

“Malah, melalui kaji selidik SME Corp Malaysia didapati 81 peratus responden memberi maklum balas mereka ada tunai dalam tangan yang hanya cukup untuk meneruskan operasi jika keadaan berlarutan kurang tiga bulan dan kurang daripada 1.0 peratus PKS mampu bertahan lebih setahun.

“Ini menunjukkan sekiranya PKP diteruskan, majoriti usahawan terutama usahawan mikro tidak dapat meneruskan beroperasi dan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Medac peka dengan nasib usahawan dan menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan lain pelbagai bantuan pembiayaan ditawarkan termasuk program pembangunan kapasiti serta akses pasaran.

Mas Ermieyati berkata, selain kekangan pembiayaan dalam kelangsungan perniagaan, antara yang menjadi kelemahan usahawan tempatan ialah latihan.

“Kurang latihan atau kemahiran menyebabkan kebanyakan usahawan tidak mampu bertahan lama kerana perubahan ekosistem perniagaan disebabkan normal baharu memerlukan usahawan mengadaptasi sistem digital yang lebih komprehensif.

“Menyedari hakikat ini Medac melalui agensi berkaitan mengadakan program melalui FB Live dan webinar bagi memudahkan kebolehcapaian usahawan.

“Antara program dijalankan sepanjang PKP ialah INSKEN BizLive, bengkel Manfaat Ekonomi Perkongsian Untuk PKS yang diadakan melalui webinar, program latihan, sesi bimbingan dalam talian mengikut industri dan bantuan menyediakan dokumen bagi permohonan bantuan kewangan,” katanya.