SEBAHAGIAN besar pekerja Malaysia bersedia untuk dilatih semula bagi memastikan mereka kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.

Berdasarkan kaji selidik terkini Workmonitor oleh Randstad, 87 peratus pekerja di Malaysia khususnya pekerja Generasi X, membabitkan responden berusia 35 hingga 44 tahun bersedia menjalani latihan semula untuk kekal relevan.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass berkata, lebih banyak syarikat kini melabur dalam teknologi sebagai strategi untuk pulih lebih pantas daripada pandemik.

Namun, katanya ini mungkin berisiko untuk terus melebarkan jurang antara jangkaan majikan terhadap kakitangan mereka dan kemahiran yang dimiliki pekerja secara realistiknya.

“Untuk kekal berdaya saing, organisasi perlu memenuhi jangkaan yang tinggi itu melalui cara melengkapi kakitangan dengan kemahiran yang membolehkan mereka bersedia untuk masa depan dan mengelakkan pengangguran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, banyak majikan mengambil pekerja lebih muda berikutan keselesaan mereka menggunakan peralatan digital, selain potensi untuk memacu perubahan teknologi.

“Tiga daripada empat responden di negara ini percaya pekerja lebih muda lebih menarik minat majikan disebabkan kemahiran ‘celik teknologi’ yang mereka miliki.

“Walaupun pekerja lebih muda dilihat lebih memikat dengan pengetahuan digital, majikan tidak boleh bergantung kepada mereka untuk memacu agenda digital organisasi.

“Jangkaan tinggi kepada pekerja muda tidak akan meletakkan mereka dalam laluan kejayaan kerana golongan ini tidak mempunyai pengalaman mencukupi khususnya berkaitan selok-belok bekerja dalam persekitaran korporat seperti penyediaan bajet atau pengurusan projek,” katanya.