BANK Dunia memberi amaran bahawa krisis Covid-19 boleh mengakibatkan 60 juta individu jatuh ke kelompok miskin tegar.

Institusi pinjaman global itu kini sudah menyalurkan program bantuan kewangan di 100 negara, di bawah komitmennya untuk membelanjakan AS$160 bilion (RM695.3 bilion) dalam tempoh 15 bulan akan datang, kata Presidennya, David Malpass.

“Ia membantu 70 peratus populasi dunia dan mewakili pencapaian penting,” kata Malpass dalam sidang panggilan.

Malpass berkata, bank itu menjangkakan ekonomi dunia menguncup lima peratus tahun ini, dengan kesan buruk kepada negara termiskin.

“Anggaran kami sehingga 60 juta orang akan berdepan kemiskinan tegar, menghapus semua kemajuan yang dicapai untuk menurunkan kadar kemiskinan dalam tiga tahun terakhir dan ramalan kami menunjukkan kemelesetan yang mendalam,” katanya.

Hampir lima juta orang sudah dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia manakala lebih dari 300,000 maut sejak virus itu pertama kali muncul di China pada akhir 2019.

Setakat ini, Bank Dunia sudah membelanjakan AS$5.5 bilion (RM23.9 bilion) untuk menampung sistem kesihatan, ekonomi dan perkhidmatan sosial yang membelenggu negara miskin.

Namun, Malpass menekankan bahawa usaha Bank Dunia saja tidak mencukupi dan ia mendesak negara penderma untuk meningkatkan bantuan dua hala ke negara miskin bagi memastikan pemulihan berdaya tahan.

Katanya, pemulihan dalam aliran pembayaran kiriman wang dan pelancongan, iaitu sumber utama pendapatan negara membangun akan menjadi ‘langkah penting pembukaan semula ekonomi’.

Moratorium selama setahun dalam pembayaran hutang oleh negara-negara kurang membangun seperti yang diminta oleh G-20 pada pertengahan April, mendapat permintaan yang semakin meningkat.

Menurutnya, 14 negara bersetuju menangguhkan pembayaran balik hutang, manakala 23 negara lain menerima permohonan itu dan 17 negara memberikan pertimbangan serius.

“Ia sambutan yang sangat baik dan maklum balas pantas serta positif kepada komitmen negara G-20,” katanya.