Kuala Lumpur: Maxis Bhd menggariskan enam penyelesaian korporat bagi menyokong organisasi perniagaan dalam merangka hala tuju transformasi digital komprehensif.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaannya, Paul McManus berkata, penyelesaian yang akan disempurnakan menerusi Maxis Programmable Network itu bakal menawarkan aspek keselamatan hujung-ke-hujung membabitkan pelbagai keupayaan keselamatan rangkaian.

Beliau berkata, penyelesaian pertama yang diperkenalkan Maxis adalah Managed Cloud iaitu perkhidmatan pengkomputeran awan yang diuruskan sepenuhnya dengan sokongan menyeluruh oleh pakar yang diperakui menerusi Maxis MEF 3.0.

Bagi penyelesaian kedua, katanya, ia dikenali sebagai Pembuatan Pintar iaitu perkhidmatan pertama yang menawarkan keupayaan turnkey bersepadu bagi memodenkan dan mengautomasikan operasi perniagaan organisasi.

“Penyelesaian ketiga adalah Keselamatan Pintar iaitu platform pengawasan video berpusat tersambung yang direka untuk meningkatkan kesedaran situasi dalam masa nyata bagi membolehkan ia dikawal dan diuruskan dengan cara lebih pintar,” katanya pada taklimat media pelancaran kempen Transformasi Semula Perniagaan Maxis di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Produk Perusahaan Maxis, Selvakumar Rajasekaran dan Ketua Penyampaian Teknologi Maklumat (IT) Maxis, Ng May Ching.

Mengulas lanjut, McManus berkata, penyelesaian Managed UC pula adalah perkhidmatan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang membolehkan pengguna membuat dan menerima panggilan menerusi nombor talian tetap dengan Microsoft Teams, sekali gus memperkayakan pengalaman suara dan maya terbaik serta meningkatkan kerjasama antara pekerja dari mana sahaja, bila-bila masa.

“Kita juga menawarkan Managed SD-WAN yang menjadi penyelesaian rangkaian yang ditentukan perisian yang membolehkan pasukan IT menguruskan rangkaian syarikat dengan kawalan, penglihatan, dan kecekapan kos yang lebih besar.

“Terakhir adalah penyelesaian Jalur Lebar Atas Permintaan yang menjadi ciri perkhidmatan sambungan tetap Maxis, seperti Akses Internet Khusus (DIA), Litar Pajakan Swasta Domestik (DPLC) dan Peralihan Label Pelbagai-Protokol (MPLS), yang membolehkan pengguna meningkatkan kapasiti lebar jalur melalui portal layan diri dalam masa hampir nyata,” katanya.

Terdahulu, McManus turut membentangkan kajian Maxis hasil daripada dapatan Penilaian Teknologi Digital 2020 yang dikemukakan International Data Corporation (IDC) yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai usaha digitalisasi syarikat Malaysia.

McManus menjelaskan, penemuan utama kajian itu menunjukkan syarikat kekurangan strategi jangka panjang yang diperlukan untuk mengubah perniagaan dan ia menjadi faktor utama ketidakupayaan memanfaatkan potensi digitalisasi sepenuhnya.

Beliau berkata, walaupun terdapat permintaan yang kukuh untuk perkhidmatan awan oleh syarikat di Malaysia, mereka tidak dapat meraih keuntungan akibat cabaran migrasi dan kurangnya bakat serta kesedaran mengenai perkhidmatan ini dengan lebih dari separuh responden masih beroperasi menggunakan infrastruktur tradisional.

Selain itu, katanya kira-kira 61 peratus organisasi tidak jelas mengenai bagaimana Rangkaian Berfungsi Perisian (SDN) akan berfungsi kerana mereka tidak pasti mengenai interoperabiliti dengan rangkaian yang ada dan tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan.