GERAN Khas Prihatin (GKP) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro berjaya menarik perhatian usahawan dengan hampir 500,000 permohonan diterima sejak ia dibuka 1 Mei lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, jika semua permohonan itu diluluskan, ia membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.

“Permohonan GKP mula dibuka awal bulan ini dan sehingga 10 Mei lalu, jumlah diterima menghampiri setengah juta permohonan,” katanya pada sesi pembentangan Laporan Laksana Kelima Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melalui siaran langsung di Facebooknya, semalam.

GKP bantuan kewangan secara sekali berjumlah RM3,000 kepada setiap PKS mikro berkelayakan yang akan dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Kementerian Kewangan menyasarkan 700,000 PKS mikro menerima manfaat GKP berjumlah RM2.1 bilion.

Antara kelayakan memohon GKP adalah warganegara Malaysia dan pemohon menjalankan perniagaan mikro dengan jumlah jualan atau perolehan tahunan kurang daripada RM300,000 serta jumlah pekerja kurang lima orang tidak termasuk pemilik.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, bagi Dana Pinjaman Mudah PKS, setakat 10 Mei lalu, permohonan diluluskan bank tempatan dan disetujuterima PKS adalah RM4.7 bilion yang akan memanfaatkan 11,975 PKS.

“Manakala Skim Kredit Mikro dengan kadar faedah atau keuntungan 0 peratus pula, di bawah skim kredit mikro Bank Simpanan Nasional (BSN), 2,626 permohonan sudah diluluskan, bernilai RM114 juta.

“Bagi program Tekun pula, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 8,562, dengan nilai RM72 juta.

“Saya berharap skim pinjaman ini dapat dimanfaatkan oleh PKS mikro dengan sebaik mungkin,” katanya.