PADIBERAS Nasional Berhad (Bernas) memainkan peranan dengan mengagihkan bantuan kepada lebih 50 keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporatnya.

Program berkenaan yang diadakan di kawasan kediaman Flat Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor Bahru itu membabitkan lebih 50 keluarga berbilang kaum.

Pengurus Operasi Wilayah Selatan, Noor Khaliq Abdul Rahman berkata, inisiatif itu dilakukan bagi membantu masyarakat setempat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

“Pandemik Covid-19 bukan saja menjejaskan kesihatan, malah ia turut memberi kesan kepada pendapatan individu dan isi rumah.

“Oleh itu, Bernas mengambil inisiatif menceriakan mereka di Taman Cendana ini dengan sumbangan berbentuk wang dan barangan keperluan harian.

“Selain berhampiran dengan gudang operasi kami, kawasan perumahan ini menempatkan pelbagai kaum sekali gus ia bertepatan dengan konsep bulan kebangsaan yang disambut,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, Rosniza Baharum berkata, sebelum ini, Bernas Prihatin menemui beberapa pesawah di Sekinchan, Selangor dan Pasir Puteh, Kelantan.

“Kali ini kami ke Pasir Gudang bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutama ketika fasa pemulihan yang kita lalui ketika ini,” katanya.

Menurutnya, dengan kerjasama Badan Kebajikan Penduduk Taman Cendana, pihaknya mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan termasuk enam daripada mereka adalah golongan kurang upaya (OKU).

“Ramai di antara mereka juga hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan pada Mac lalu.

“Beras dan masyarakat Malaysia memang tidak dapat dipisahkan, ia menjadi salah satu sumber karbohidrat yang memberi tenaga kepada kita.

“Sehubungan itu, Bernas menghulurkan dua jenis beras seperti beras basmati dan beras putih tempatan yang dapat membantu memberi sumber tenaga kepada mereka,” katanya.