Kuala Lumpur: Idea Creative Technology Sdn Bhd (ICTSB) komited melahirkan lebih ramai pengusaha Hub Warong yang berpotensi bagi merealisasikan misi syarikat untuk membuka 222 cawangan Hub Warong di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi ICTSB, Kemp Kamarul Hisham Azim berkata, Hub Warong adalah pusat penghantaran parcel atau dokumen di samping menyediakan perkhidmatan daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, setakat ini ada 47 Hub Warong yang terdapat di seluruh negara.

“Kewujudan 47 Hub Warong dalam masa lima bulan adalah kejayaan yang besar bagi kami.

“Malah, kami turut menjalankan Latihan Industri Hub Warong di bawah program Warongku baru-baru ini.

“Program latihan ini mendapat sokongan Persatuan Pengamal Media, IT & Komunikasi Malaysia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (Medac) dan SME Corp dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKM) bagi membantu usahawan kecil menjalankan perniagaan mereka secara digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih kurang 100 peserta latihan dan bakal pengusaha Hub Warong yang berpotensi mengikuti program Warongku dengan bimbingan daripada pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata, Hub Warong juga akan ditawarkan secara francais bagi memudahkan mereka yang ingin mencari peluang perniagaan komprehensif.

“Kami yakin dengan sokongan Medac, SME Corp, Permodalan Nasional Berhad (PNS) dan Tekun Nasional, syarikat mampu merealisasikan pembukaan Hub Warong di seluruh negara seperti yang disasarkan,” katanya.

Katanya, dengan modal sekitar RM70,000, perniagaan berkenaan mampu menjana pendapatan sehingga RM16,000 sebulan.

Antara produk lain yang berkaitan dengan Hub Warong adalah Warongku (pembelian makanan, barangan runcit dan farmasi atas talian), Warong Rider (penghantaran menggunakan motosikal, kereta dan basikal), Warong QR (pembayaran atas talian) dan Warong Komuniti (program pendaftaran ejen jualan secara sambilan).