Serendah: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan tujuh unit hartanahnya dengan nilai kira-kira RM5 juta di Antara Gapi, Serendah, mampu terjual menerusi kempen ’48 Jam Mesti Beli’ yang bermula hari ini.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, menerusi kempen itu, perbadanan berkenaan turut menawarkan diskaun kepada pembeli hartanahnya sehingga 20 peratus bagi unit terpilih.

“Promosi istimewa selama dua hari ini menjadi siri keenam kempen ’48 Jam Mesti Beli’ dengan tawaran istimewa kepada mereka yang berhasrat untuk membeli hartanah di sini.

“Kempen 48 jam sebelum ini diadakan pada 31 Ogos sempena Merdeka dan kami berjaya menjual 30 unit hartanah di beberapa lokasi di Selangor dengan nilai melangkaui RM21 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen itu di Antara Gapi, Hulu Selangor, hari ini.

SITI Zubaidah Abd Jabar (dua, kiri) melihat model rumah yang dipamerkan ketika pelancaran kempen promosi ‘48 Jam Mesti Beli@Antara Gapi’ Antara Gapi hari ini. FOTO Bernama
SITI Zubaidah Abd Jabar (dua, kiri) melihat model rumah yang dipamerkan ketika pelancaran kempen promosi ‘48 Jam Mesti [email protected] Gapi’ Antara Gapi hari ini. FOTO Bernama

Terdapat lima projek hartanah yang berkeluasan 385.50 hektar membabitkan tiga projek rumah kediaman dan dua pusat komersial dengan nilai antara RM500,000 ke RM800,000 seunit.

Katanya, antara projek perumahan yang dibangunkan sejak 1995 itu ialah Azhara, Cassia dan Lavender.

“Cassia dan Azhara sudah siap sepenuhnya dan boleh terus diduduki, manakala Lavender pula dijangka siap hujung tahun ini.

“Jenis kediaman ini juga terdiri daripada rumah link dua tingkat, rumah berkembar dua tingkat dan rumah berkembar, manakala pusat komersial yang ditawarkan pula adalah unit kedai pejabat dua tingkat,” tambahnya.

Siti Zubaidah berkata, Antara Gapi adalah antara projek hartanah terbaik yang ditawarkan PKNS berikutan lokasinya dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan prasarana lengkap.

Tambahnya, Antara Gapi juga dikelilingi pemandangan hijau semula jadi dan sesuai bagi pembeli yang mahukan lokasi kediaman bercirikan kedamaian dan ketenangan.

“Mereka yang berminat membeli hartanah ini boleh datang ke Antara Gapi ini untuk melihat rumah contoh atau boleh menghubungi talian PKNS di 03-5022 0188,” katanya.