SERAMAI 30 peratus individu mengakui tidak mempunyai sebarang pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun, golongan ini masih mampu bertahan bagi tempoh dua fasa pertama PKP dan tahap kemampuan kewangan mereka menjadi semakin genting selepas PKP dilanjutkan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) Research ke atas 733 individu secara dalam talian, hampir 30 peratus responden juga mengakui keadaan kewangan mereka membolehkan mereka bertahan selama sebulan.

“Manakala, 44 peratus responden mendapati simpanan mereka hanya mampu bertahan untuk tempoh sebulan hingga tiga bulan.

“Kira-kira 74 peratus responden pula mengakui tidak mampu bertahan untuk tempoh empat bulan akan datang.

“Ini menjadi cabaran kepada kerajaan untuk menggiatkan semula ekonomi, bagi membolehkan perniagaan dan individu mempunyai keupayaan untuk memulihkan aliran tunai mereka selepas PKP,” katanya.

Menurutnya, walaupun banyak pihak mengulas mengenai cabaran yang perlu ditangani perniagaan bagi memulihkan operasi mereka, Cent GPS berkata, masalah itu mungkin terletak dalam pasaran itu sendiri memandangkan orang akan mengurangkan perbelanjaan selepas PKP untuk menstabilkan simpanan mereka.

“Dengan pengurangan pendapatan isi rumah serta mereka yang tidak mempunyai sebarang pendapatan ketika PKP termasuk mereka yang cuba menambah simpanan mereka kembali, orang ramai berharap kerajaan menyediakan mereka dengan beberapa bentuk rangsangan.

“Mengikut kaji selidik kami, 86 peratus responden bersetuju bahawa PKP adalah perlu. Selain itu, jangkaan terhadap kerajaan adalah sangat tinggi, walaupun kaji selidik ini dibuat pada fasa awal PKP, kerajaan menerima 70 peratus respons yang positif bahawa pemerintah boleh memulihkan semula ekonomi dan jangkaan ini agak ketara,” katanya.

Katanya, oleh itu, satu pelan yang jelas, ringkas dan terperinci perlu digunakan untuk sepanjang bulan selepas PKP bagi pemulihan ekonomi Malaysia termasuk mengukuhkan kembali keyakinan industri, perniagaan dan pengguna.

“Satu lagi penemuan kami yang agak menarik daripada kaji selidik itu ialah mereka yang membeli-belah dalam talian, merekodkan angka yang sama di kalangan mereka yang tinggal di dalam dan di luar Lembah Klang, malahan Sabah dan Sarawak mencatatkan jumlah yang agak besar.

“Mungkin PKP sebenarnya telah menjadi pemangkin kepada pengguna Malaysia untuk menerima pakai amalan dalam talian terutama yang berkaitan dengan perolehan barangan,” katanya.

Daripada 733 responden terbabit dalam kaji selidik ini, 54.3 peratus terdiri daripada perempuan, 43.5 peratus (lelaki) dan baki 2.2 peratus (tidak dikenalpasti).