PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjangkakan lebih 2,000 peserta dari pelbagai negara akan menyertai Persidangan Kandungan Kreatif Asia Tenggara (Kre8tif!) Edisi ke-11 yang berlangsung secara dalam talian.

Sejajar dengan hasrat untuk menjadi pusat serantau terkemuka bagi inovasi dan penerokaan trend utama yang meliputi sektor kreatif digital, Kre8tif! 2020 juga terus mengembangkan perkongsian industri yang mampan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, Kre8tif! adalah acara yang menyokong kepelbagaian idea, potensi, inovasi dan pembangunan kreatif yang unggul bagi mencapai hasrat meletakkan Malaysia sebagai pemain utama industri kandungan digital kreatif global yang kini dianggarkan bernilai lebih RM10.04 trilion.

“Malaysia mempunyai gabungan bakat dan ekosistem yang berkembang pesat bagi industri untuk terus bergerak maju dan ketika ini, industri tempatan sudah mencatat pencapaian memberangsangkan di Asia-Pasifik.

“Perkembangan ini sudah membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri dan membantu melengkapkan pengkarya dengan peralatan, pengetahuan dan rangkaian yang tepat untuk meningkatkan nilai kebolehpasaran.

“Peluang ekonomi ini tiada sempadan dan dianggap sebagai kebiasaan baharu,” katanya.

Kre8tif! 2020 akan bermula pada 7 hingga 10 September depan bakal menjadi acara utama di rantau ini untuk industri kandungan digital yang terkini serta mampu melonjakkan ke tahap yang lebih tinggi.

Sebagai persidangan industri kreatif yang mempunyai rekod kejayaan penganjuran, Kre8tif! 2020 berjaya mengumpulkan penggerak dan penggiat animasi, media penyiaran, pelesenan dan penjualan produk, kesan khas, teknologi digital serta penghasilan kandungan kreatif.

Pengisian acara seperti sesi persidangan, bengkel, pembentangan idea dan pemadanan perniagaan serta pameran akan diterajui oleh penggiat industri antarabangsa dan pengkarya kandungan kreatif tempatan.

Ia termasuklah Octopie Studios, Walt Disney Animation Studios, Pixar, Weta Digital, Netflix, WarnerMedia Entertainment Network, Animonsta Studios, Primeworks Studio, MEASAT Broadcast Network Systems, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muslim Kids TV, YouTube, Licensing International dan WildBrain.