KIRA-KIRA 1.8 juta unit Proton Saga berjaya dijual dalam tempoh 35 tahun, sekali gus menjadikannya model paling popular bagi jenama automotif Malaysia.

Proton Holdings Bhd berkata, pihaknya yakin legasi model itu mampu bertahan sehingga 35 tahun lagi sejajar dengan rancangan penambahbaikan, komitmen kecemerlangan serta dedikasi syarikat automotif nasional berkenaan untuk memastikan model itu terus mendahului saingannya.

“Hari ini, Proton Saga mengekalkan kedudukannya sebagai tulang belakang rangkaian kenderaan ditawarkan Proton. Sejak pelancaran model Proton Saga yang dipertingkatkan pada 2019, jumlah tempahannya hampir menyamai model pertama dijual ketika pengguna berdepan pilihan terhad.

“Bagi tempoh bulan Mei lepas misalnya, ia kereta paling laris di Malaysia manakala Jun mencatat jumlah jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 70 bulan.

“Selain dipercayai, berpatutan, selesa dan keseimbangan kendaliannya yang memaparkan kemahiran jurutera Proton, model itu mendapat pembaharuan besar-besaran Ogos lepas yang terbukti mendapat sambutan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, model pertama Proton Saga berasaskan platform kereta Mitsubishi susulan persetujuan pengeluar kereta Jepun itu menjalin usaha sama dengan HICOM bagi mengeluarkan kereta pertama Malaysia dan membolehkannya muncul sebagai kereta pilihan bagi pembeli kereta nasional.

Tarikh 9 Julai, 1985 menjadi detik bermakna bagi Malaysia apabila ia menyertai kelompok negara yang mampu mengeluarkan kereta sendiri.

Malah, pada tarikh sama, Proton Saga memulakan usaha pengeluarannya iaitu lebih dua tahun selepas Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) ditubuhkan.

“Bermula daripada perancangan di atas sehelai kertas, Proton hasil ilham bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengetengahkan idea sebagai pengeluar kereta nasional pada 1979 dalam usaha melonjakkan proses pengindustrian negara ini,” katanya.